Friday, January 7, 2011

AMANAH dalam kehidupan

Pengenalan

Sabda Rasulullah SAW:
"aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepadanya yakni al-Quran dan sunnahku".


      'Muhammad bin Abdullah' merupakan insan terpilih(kekasih ALLAH) yang amat dikenali oleh semua umat manusia sebagai Rasulullah SAW, rasul terakhir yang diutuskan ALLAH untuk menyampaikan kalimah tauhid kepada umat manusia yang bergelumang dengan kejahilan. Baginda memiliki budi pekerti yang amat mulia dan merupakan suri teladan terbaik(rolemodel) dalam usaha mempersiapkan diri sebelum menghadap Yang Maha Esa. Sepanjang hidup baginda telah mempamerkan akhlak seorang individu muslim yang sebanar dan sentiasa taat kepada perintah ALLAH S.W.T.

Firman ALLAH dalam surah al-Ahzab ayat 21:
"Sungguh, telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati ALLAH".


         Ayat suci ini menggambarkan betapa pentingnya as-sunnah(setiap perkara yang dilakukan oleh Rasulullah) itu sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan agar sentiasa mendapat keberkatan dan semoga beroleh syurga ALLAH di akhirat kelak. Seperti kita sedia maklum, sifat wajib bagi setiap rasul ALLAH adalah siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Keempat-empat sifat yang mulia ini sudah pasti dimiliki oleh insan maksum bernama Muhammad bin Abdullah. Justeru sebagai seorang muslim yang beriman kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menyemai sifat-sifat mahmudah ini dalam diri selagi hayat dikandung badan. 

Amanah dalam kehidupan

       Salah satu sifat Rasulullah yang ingin kita fokuskan di sini adalah sifat amanah yang menggambarkan kejujuran, keikhlasan dan boleh dipercayai seseorang individu. Orang yang beriman mestilah mempunyai sifat amanah sabagai salah satu sifat penting dalam hati agar individu tersebut melaksanakan amanah yang telah ALLAH tetapkan kepada setiap manusia dengan penuh ketaatan.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".
                                                                                                  (az-Zariyat-ayat 56)

       Imam al-Ghazali ada menanyakan soalan kepada anak muridnya, "Apakah yang paling?". Berbagai-bagai jawapan disebut oleh anak muridnya seperti batu, ikan paus, dan banyak lagi. Namun, semuanya kurang tepat kerana perkara yang paling berat adalah AMANAH. Menyampaikan dan melaksanakan amanah adalah amat berat sehinggakan langit, gunung serta bumi enggan menerima amanah seperti dikisahkan dalam surah al-Ahzab, ayat 72 :

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh".
       
       Subhanallah, sesungguhnya ayat-ayat suci ALLAH adalah benar. Kini banyak perkara mengecewakan dilakukan oleh manusia yang tidak amanah. Dunia masa kini dipenuhi dengan budaya rasuah dan penyelewengan yang tidak terkawal. Natijahnya, banyak inidividu tidak bersalah semakin tertindas dek perbuatan keji manusia-manusia yang tidak amanah. Golongan ini ternyata tidak lagi menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagaiteras hidup dan semakin hari mereka semakin jauh dengan rahmat ALLAH selagi mereka tidak bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

       Oleh yang demikian, sifat amanah ini hendaklah dibentuk dan dididik sejak kecil seawal mungkin walaupun digelar baru 'setahun jagung' kerana 'meluntur buluh, biarlah dari rebungnya'. Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara seperti ini sebaliknya mereka perlu berusaha sebaik mungkin menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Masyarakat masa kini suka menganggap perkara ini remeh tanpa memikirkan realiti sebenar yang akan berlaku sekiranya anak-anak tidak diperlengkapkan dengan sifat-sifat mahmudah sebelum melangkah ke alam dewasa. Perkara sekecil-kecil menyiapkan kerja sekolah juga merupakan satu amanah yang telah kita pikul sewaktu masih kanak-kanak yang kadang-kandang tidak begitu dititikberatkan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak menyiapkannya sebelum ke sekolah. Secara tidak langsung anak-anak kecil ini telah gagal dalam menunaikan amanah daripada guru dan lama-kelemaan ia akan menjadi satu kebiasaan. Bayangkanlah apa yang berlaku tatkala anak-anak ini meningkat dewasa dan berkerjaya.

        Sirah Islam telah menceritakan bahawa Saidatina Khadijah memilih Rasulullah untuk membawa barang dagangannya ke Syam kerana kemahiran perniagaan baginda dan sifat amanah yang telah sebati dalam diri baginda yang digelar al-Amin. Sifat ini tidak dimiliki oleh peniaga lain di Makkah.       

        Sifat amanah datangnya daripada dorongan iman. Bukan sebarang iman, tetapi iman yang merasai dirinya sentiasa diintip kamera ILAHI sahaja yang akan melahirkan sifat amanah. Perkataan iman melahirkan al-Amin dan dari sini lahirlah perkataan al-Amanat, kemudian melahirkan al-Amanah. Maknanya iman yang mantap akan membuatkan seseroang mempunyai prinsip dan mempertahankan kejujurannya. Kejujuran adalah mahkota keperibadian seseorang. Apabila ada prinsip maka lahirlah adab dan jika diulangi, adab ini akan menjadi sebati dalam diri. Manakala orang al-Amin sahajalah yang akan membawa al-Aman maknanya selamat. Selamat daripada menyusahkan orang, selamat daripada menzalimi orang lain dan selamat apabila diserahkan amanah.

        Saidina Umar pernah menguji pengembala kambing yang mengambil upah menjaga kambing-kambing di padang pasir tanpa memperkenalkan dirinya adalah khalifah.
Umar              : Boleh aku membeli kambing-kambing ini?
Pengembala   : Tidak boleh kerana ini bukan kambingku.
Umar              : Bolehlah aku beli kerana tuan kau tidak ada, tidak nampak dan tidak tahu kau                               
                           jual kambing ini.
Pengembala   : Tidak boleh kerana walaupun tuan aku tidak tahu dan tidak nampak, tetapi 
                           tuhan tuan aku sentiasa melihat.
MasyaALLAH, begitulah hebatnya seseorang jika benar-benar beriman, nescaya amanah yang dipikul dan dijunjung tidak akan punah.

         Berdasarkan sirah yang lain pula, pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

      Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

        Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

          Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana. Lihat hakikat betapa indahnya Islam yang menekankan kepentingan sifat amanah. Hasil daripada seorang anak perempuan yang amanah, telah terbentuk Baitul Muslim yang hebat.

Kesimpulan

        Akhir kata marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kehadrat Allah SWT semoga dengan meningkatnya iman dan tawqa kita akan mempertingkatkan sifat dan sikap amanah dan tanggung jawab kita


           Para ikhwah dan akhwat sekalian, yakinlah dengan janji ALLAH S.W.T. dalam surah Al-Baqarah (Ayat 286), yang mafhumnya:
"Allah (sekali-kali) tidak membebankan (sesuatu) kepada seseorang melainkan sesuai dengan keupayaan (yang dimiliki)nya, maka bagi seseorang itu pahala (kejayaan) atas apa yang telah diusahakannya dan sebaliknya ke atas merekalah dosa (kegagalan) dari apa yang mereka usahakan (secara cuai)".

SELAMAT BERAMAL....





No comments:

Post a Comment