Tuesday, January 18, 2011

Bersatu mengembalikan kegemilangan ISLAM.

Assalamualaikum....
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah kerana mengurniakan kita nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, para sahabat, muslimin dan muslimat yang sentiasa berjuang di jalan ALLAH...


Sambil menghirup nikmat udara segar di bumi Sarawak milik Allah, saya ingin berkongsi sedikit ilmu bersama ikhwah dan akhwat fillah pagi ini. Sesungguhnya Rasulullah bersabda," Sampaikanlah walau sepotong ayat". Berdasarkan sabda Rasulullah ini, maka yakinkan dan beranikanlah diri sahabat2 untuk berkongsi sebarang ilmu yang diperolehi dgn sahabat2 yang lain dalam usaha menjadi umat Islam yang musleh. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya bukan sekadar berusaha mempertingkatkan keimanan kita kepada ALLAH sebaliknya pada masa yang sama berusaha mensolehkan masyarakat di sekitar kita. Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dan mampu dilaksanakan dalam memastikan "ISLAM is the way of life" berjaya diamalkan.


Al-Syeikh Sa'id Hawwa menyebut bahawa maratib (peringkat) amal yang dituntut adalah: 

1.Individu muslim hendaklah memperbaiki dirinya sehingga memiliki anggota tubuh badan yang kuat, akhlak yang suci, daya intelektual yang tinggi (muthaqqaf), keupayaan untuk menguasai suasana aqidah yang bersih, ibadah yang benar, berjihad dengan dirinya,menjaga waktunya, teratur hidupnya, mampu memberi manfaat kepada orang lain dan setiap ikhwah hendaklah berusaha untuk mencernakan tuntutan ini dengan kesungguhan. 

2.Membentuk rumahtangga muslim sehingga keluarganya dapat menampung fikrah yang dibawanya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan rumahtangganya, memilih isteri yang solehah dengan memberikan panduan kepada hak dan tanggungjawabnya, mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya.
Begitu juga dengan pembantu rumah, membesarkan mereka dalam suasana Islam dan setiap ikhwah hendak berusaha dengan satu kesungguhan untuk memenuhi tuntutan ini. 

3.Memberi panduan kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah dengan baik dan menghapuskan segala kemungkaran, mengajak kepada yang ma’ruf, berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi unsur yang dominan dalam masyarakat sehingga dapat menguasai pendapat am (public opinion) yang disandarkan dengan pandangan Islam dan menghidupkannya dalam kehidupan am.Tuntutan ini adalah ke atas setiap individu dengan didukung oleh jamaah sebagai tenaga yang menggerakkan. 

4.Membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang bukan Islam dalam bidang siyasah (politik), iqtisad (ekonomi) dan ruh (kerohanian). 

5.Membaiki kerajaan sehingga menuruti Islam yang sebenarnya serta berkhidmat sebagai khadam ummah yang bekerja untuk kepentingan ummah. Antara sifatnya adalah sifat belas terhadap rakyat, keadilan sesama manusia dan berjimat dalam urusan perbendaharaan dan ekonomi negara. Menjadi kewajipan negara inipula untuk menjamin keamanan, perlaksanaan system perundangan pendidikan sehingga melahirkan kekuatan, menjaga kesihatan am dan sebagainya. 

6.Mengembalikan penyatuan umat Islam secara keseluruhan dengan membebaskan negara yang dijajah, mendekatkan budaya antara kaum dan berusaha untuk mengembalikan system khilafah yang telah dimusnahkan. 

7.Berusaha untuk mewujudkan cirri ''ustaziyat al-'alam'' (penguasaan alam) dengan penyebaran dakwah di segenap pelusuk dunia ini sehingga tidak ada lagi fitnah dan meletakkan al-Din keseluruhannya adalah milik Allah.
Keempat-empat peringkat di atas merupakan kewajipan yang perlu dipikul dengan jamaah dan setiap individu yang bersama dengannya sebagai pendukung yang utama. 

Lihatlah betapa beratnya tugas ini dan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul yang mungkin dirasakan sabagai satu khayalan dan impian yang tidak akan tercapai oleh manusia tetapi Allah s.w.t. telah mengingatkan kita di dalam firmanNya yang bermaksud:
''Dan (setelah Yusuf dujualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: ''Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak''. Dan demikianlah caranya kita menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'' (Yusuf: 21) 

Kita hendaklah menganggap kehadiran kita di sini adalah kehadiran dalam marhalah al-bina' (peringkat pembinaan) dan pengemasan barisan perjuangan. Melihatkan keadaan dunia zaman sekarang, perkara ini kelihatan seperti mustahil tp yakinlah bahawa janji Allah bahawa Islam akan menang adalah benar. Mungkin kita tidak sempat merasai kegemilangan Islam apabila tiba masanya Islam kembali menjadi 'uztaziyat al-alam' tetapi biarlah kita menjadi barisan yang memulakan usaha-usaha ke arah tersebut. 
Wallahhualam....


Islam itu menyatukan manusia

Friday, January 7, 2011

AMANAH dalam kehidupan

Pengenalan

Sabda Rasulullah SAW:
"aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepadanya yakni al-Quran dan sunnahku".


      'Muhammad bin Abdullah' merupakan insan terpilih(kekasih ALLAH) yang amat dikenali oleh semua umat manusia sebagai Rasulullah SAW, rasul terakhir yang diutuskan ALLAH untuk menyampaikan kalimah tauhid kepada umat manusia yang bergelumang dengan kejahilan. Baginda memiliki budi pekerti yang amat mulia dan merupakan suri teladan terbaik(rolemodel) dalam usaha mempersiapkan diri sebelum menghadap Yang Maha Esa. Sepanjang hidup baginda telah mempamerkan akhlak seorang individu muslim yang sebanar dan sentiasa taat kepada perintah ALLAH S.W.T.

Firman ALLAH dalam surah al-Ahzab ayat 21:
"Sungguh, telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati ALLAH".


         Ayat suci ini menggambarkan betapa pentingnya as-sunnah(setiap perkara yang dilakukan oleh Rasulullah) itu sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan agar sentiasa mendapat keberkatan dan semoga beroleh syurga ALLAH di akhirat kelak. Seperti kita sedia maklum, sifat wajib bagi setiap rasul ALLAH adalah siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Keempat-empat sifat yang mulia ini sudah pasti dimiliki oleh insan maksum bernama Muhammad bin Abdullah. Justeru sebagai seorang muslim yang beriman kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menyemai sifat-sifat mahmudah ini dalam diri selagi hayat dikandung badan. 

Amanah dalam kehidupan

       Salah satu sifat Rasulullah yang ingin kita fokuskan di sini adalah sifat amanah yang menggambarkan kejujuran, keikhlasan dan boleh dipercayai seseorang individu. Orang yang beriman mestilah mempunyai sifat amanah sabagai salah satu sifat penting dalam hati agar individu tersebut melaksanakan amanah yang telah ALLAH tetapkan kepada setiap manusia dengan penuh ketaatan.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".
                                                                                                  (az-Zariyat-ayat 56)

       Imam al-Ghazali ada menanyakan soalan kepada anak muridnya, "Apakah yang paling?". Berbagai-bagai jawapan disebut oleh anak muridnya seperti batu, ikan paus, dan banyak lagi. Namun, semuanya kurang tepat kerana perkara yang paling berat adalah AMANAH. Menyampaikan dan melaksanakan amanah adalah amat berat sehinggakan langit, gunung serta bumi enggan menerima amanah seperti dikisahkan dalam surah al-Ahzab, ayat 72 :

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh".
       
       Subhanallah, sesungguhnya ayat-ayat suci ALLAH adalah benar. Kini banyak perkara mengecewakan dilakukan oleh manusia yang tidak amanah. Dunia masa kini dipenuhi dengan budaya rasuah dan penyelewengan yang tidak terkawal. Natijahnya, banyak inidividu tidak bersalah semakin tertindas dek perbuatan keji manusia-manusia yang tidak amanah. Golongan ini ternyata tidak lagi menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagaiteras hidup dan semakin hari mereka semakin jauh dengan rahmat ALLAH selagi mereka tidak bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

       Oleh yang demikian, sifat amanah ini hendaklah dibentuk dan dididik sejak kecil seawal mungkin walaupun digelar baru 'setahun jagung' kerana 'meluntur buluh, biarlah dari rebungnya'. Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara seperti ini sebaliknya mereka perlu berusaha sebaik mungkin menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Masyarakat masa kini suka menganggap perkara ini remeh tanpa memikirkan realiti sebenar yang akan berlaku sekiranya anak-anak tidak diperlengkapkan dengan sifat-sifat mahmudah sebelum melangkah ke alam dewasa. Perkara sekecil-kecil menyiapkan kerja sekolah juga merupakan satu amanah yang telah kita pikul sewaktu masih kanak-kanak yang kadang-kandang tidak begitu dititikberatkan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak menyiapkannya sebelum ke sekolah. Secara tidak langsung anak-anak kecil ini telah gagal dalam menunaikan amanah daripada guru dan lama-kelemaan ia akan menjadi satu kebiasaan. Bayangkanlah apa yang berlaku tatkala anak-anak ini meningkat dewasa dan berkerjaya.

        Sirah Islam telah menceritakan bahawa Saidatina Khadijah memilih Rasulullah untuk membawa barang dagangannya ke Syam kerana kemahiran perniagaan baginda dan sifat amanah yang telah sebati dalam diri baginda yang digelar al-Amin. Sifat ini tidak dimiliki oleh peniaga lain di Makkah.       

        Sifat amanah datangnya daripada dorongan iman. Bukan sebarang iman, tetapi iman yang merasai dirinya sentiasa diintip kamera ILAHI sahaja yang akan melahirkan sifat amanah. Perkataan iman melahirkan al-Amin dan dari sini lahirlah perkataan al-Amanat, kemudian melahirkan al-Amanah. Maknanya iman yang mantap akan membuatkan seseroang mempunyai prinsip dan mempertahankan kejujurannya. Kejujuran adalah mahkota keperibadian seseorang. Apabila ada prinsip maka lahirlah adab dan jika diulangi, adab ini akan menjadi sebati dalam diri. Manakala orang al-Amin sahajalah yang akan membawa al-Aman maknanya selamat. Selamat daripada menyusahkan orang, selamat daripada menzalimi orang lain dan selamat apabila diserahkan amanah.

        Saidina Umar pernah menguji pengembala kambing yang mengambil upah menjaga kambing-kambing di padang pasir tanpa memperkenalkan dirinya adalah khalifah.
Umar              : Boleh aku membeli kambing-kambing ini?
Pengembala   : Tidak boleh kerana ini bukan kambingku.
Umar              : Bolehlah aku beli kerana tuan kau tidak ada, tidak nampak dan tidak tahu kau                               
                           jual kambing ini.
Pengembala   : Tidak boleh kerana walaupun tuan aku tidak tahu dan tidak nampak, tetapi 
                           tuhan tuan aku sentiasa melihat.
MasyaALLAH, begitulah hebatnya seseorang jika benar-benar beriman, nescaya amanah yang dipikul dan dijunjung tidak akan punah.

         Berdasarkan sirah yang lain pula, pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

      Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

        Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

          Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana. Lihat hakikat betapa indahnya Islam yang menekankan kepentingan sifat amanah. Hasil daripada seorang anak perempuan yang amanah, telah terbentuk Baitul Muslim yang hebat.

Kesimpulan

        Akhir kata marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kehadrat Allah SWT semoga dengan meningkatnya iman dan tawqa kita akan mempertingkatkan sifat dan sikap amanah dan tanggung jawab kita


           Para ikhwah dan akhwat sekalian, yakinlah dengan janji ALLAH S.W.T. dalam surah Al-Baqarah (Ayat 286), yang mafhumnya:
"Allah (sekali-kali) tidak membebankan (sesuatu) kepada seseorang melainkan sesuai dengan keupayaan (yang dimiliki)nya, maka bagi seseorang itu pahala (kejayaan) atas apa yang telah diusahakannya dan sebaliknya ke atas merekalah dosa (kegagalan) dari apa yang mereka usahakan (secara cuai)".

SELAMAT BERAMAL....





Wednesday, January 5, 2011

Sesungguhnya Aku mencintaimu YA ALLAH






Edcoustic – Aku Ingin MencintaiMu Setulusnya

Tuhan betapa aku malu
Atas semua yang Kau beri
Padahal diriku terlalu sering membuatMU kecewa
Entah mungkin karna ku terlena
Sementara Engkau beri aku kesempatan berulang kali
Agar aku kembali
Dalam fitrahku sebagai manusia
Untuk menghambakanMU
Betapa tak ada apa-apanya aku dihadapanMU
Reff:
Aku ingin mencintaiMU setulusnya,
Sebenar-benar aku cinta
Dalam do`a
Dalam ucapan
Dalam setiap langkahku
Aku ingin mendekatiMU selamanya
Sehina apapun diriku
Kuberharap untuk bertemu denganMU ya Rabbi

Sunday, January 2, 2011

Adakah KITA pemuda sehebat ini ???

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.  
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,   memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.







Jangan berputus asa pada rezeki ALLAH

Allah S.W.T. berfirman,
Maksudnya :
"Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolngan Allah)."
                                                                                                                                       Surah Fushilat : 49

        Diceritakan suatu kisah mengenai Syeikh Imam az-Zahidi yg ingin membuktikan bahawa rezeki setiap makhluk adalah benar-benar ditentukan oleh Allah. Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di dalam sebuah gua sambil memperbanyakkan tasbih sepertimana kebiasaannya. Dia berniat tidak akan makan sehinggalah makanan itu sendiri masuk ke dalam mulutnya.
        Setelah berada cukup lama di dlm gua, perutnya mulai terasa lapar. Tiba-tiba kelihatan sebuah kafilah yg tersesat sedang mencari tempat berteduh kerana hujan lebat. Mereka terkejut tatkala melihat az-Zahidi dan memanggilnya berulang kali tetapi dia berpura-pura tidak mendengar dan berdiam diri.

" Mungkin orang ni kedinginan sehingga tidak mampu bercakap," kata salah seorang di kalangan khalifah.
        
         Mereka mengumpulkan sampah gua dan membuat unggun api dgn tujuan menghangatkan badan az-Zahidi. Kemudian, mereka mengajak dia bercakap, namun sepatah pun tidak keluar dari mulutnya.

"Mungkin dia kelaparan," kata seorang lagi khalifah.

         Oleh itu, mereka mengambil makanan yg diletakkan pd sebuah piring dan terus diberikan tepat pada muka az-Zahidi. Namun, masih tidak ada tindak balas.

Maka seorang lagi berkata," mari kita buatkan susu panas dan masukkan gula agar terasa lebih sedap dan mudah ditelan".

          Walaupun begitu, az-Zahidi tetap tidak memberi sebarang reaksi lalu seorang lagi berkata, "Wahai kawan, aku lihat mulutnya terkatup rapat, mungkin dia sukar membukanya kerana terlalu lama tertutup, ambillah pahat, kita cungkil mulutnya dan masukkan makanan".
           Tepat ketika hujung pahat menyentuh bibir az-Zahidi, gelak ketawanya tidak dapat ditahan lagi. Mereka terkejut sambil mengatakan,"Gila kamu!"
           " Tidak aku tidak gila, aku hanya ingin membuktikan bagaimana ALLAH betul-betul memberikan rezeki pada setiap hamba-NYA. Kesemuanya kini telah terbukti bahawa ALLAH sungguh telah memberi rezeki hamba-NYA di mana pun berada. Hatiku kini betul-betul begitu mantap," kata az-Zahidi.

Berdasarkan kisah yang saya petik daripada buku 'Mengapa ALLAH Menjadikanku Miskin' karangan Imam Musbikin ini, kita dapat lihat sesungguhnya janji ALLAh dalam surah ath-Thalaq : ayat 2 &3 itu amatlah benar. Sebagai seorang hamba-NYA, kita tidak sepatutnya mengharapkn pertolongan daripada apa2 pun selain ALLAH dan hanya kepada ALLAH sahaja kita bertawakkal setelah berusaha.

Kisah ini memaparkan seorang ahli ibadah yg sangat hebat, namun cuba kita bayangkan sekiranya kita melakukan perkara yg sama seperti Syeikh Imam az-Zahidi. Adakah kita mampu melaluinya? Adakah kita layak mendapat nikamt seperti itu sekiranya ibadah kita tidak sehebat beliau??

"Renung-renungkan dan pikir-pikirkanlah"..

SELAMAT BERAMAL..